Al-Biruni, Ahli Falsafah yang Serba Boleh

Oleh: Bandeh Khudo 

Pada zaman awal kedatangan Islam, masyarakat Islam tidak begitu terdedah kepada ilmu falsafah. Walau bagaimanapun menjelang abad ke-3, para sarjana Islam mulai memberikan  perhatian  kepada  persoalan  dan  pemikiran  yang  berkaitan  dengan falsafah.

Asas falsafah yang dipelopori oleh para ilmuwan Islam, berdasarkan ajaran Islam bertujuan untuk meningkatkan keyakinan dan ketakwaan umat Islam. Berbeda dengan falsafah Yunani yang lebih tertumpu kepada pencarian kebenaran berlandaskan pemikiran dan logika semata-mata.

Aliran falsafah pada zaman Islam tidak sekadar membataskan perbicaraan kepada persoalan yang berkaitan dengan metafizika ketuhanan dan kejadian alam. Tetapi juga meliputi perbincangan yang berkaitan dengan nilai-nilai akhlak, masyarakat, dan kemanusiaan. Walaupun ahli falsafah pernah dicap oleh Imam Al-Ghazali sebagai golongan yang sesat lagi menyesatkan, tetapi perkembangan ilmu falsafah itu telah berjaya membantu menyelesaikan pelbagai persoalan keagamaan, ekonomi, politik, sosial, budaya, dan bidang-bidang lain.

Wahyu sebenarnya tidak bercanggah dengan akal. Menerusi paduan wahyu dan akal seperti yang dicernakan oleh para ilmuwan Islam telah berjaya membantu meletakkan batu asas yang kukuh kepada pembinaan peradaban Islam.

Karena itu, umat Islam digalakkan mencari dan menimba ilmu hatta sampai ke negara China. Dorongan yang diberikan oleh Islam itu telah memberikan semacam motivasi kepada  para  sarjana  Islam untuk  terus menggali  dan  mempelajari  pelbagai  ilmu pengetahuan sama ada di timur ataupun barat.

Salah seorang ilmuwan tersebut ialah Al Biruni atau nama asalnya Abu al-Raihan Muhammad ibn Ahmad al-Biruni. Beliau dilahirkan pada tahun  362 H  (973 M) diBirun, ibu negara Khawarizm atau lebih dikenali sebagai Turkistan. Gurunya yang terawal ialah Abu Nasr Mansur ibn Alt ibn Iraqin yang juga merupakan seorang pakar ilmu matematika dan alam.

Minat  dan  kecenderungannya  untuk  mempelajari  serta  meluaskan  dimensi  ilmu pengetahuannya  telah  mendorong  Al-Biruni  merantau  sehingga  ke  negara  India. Tetapi semasa berada di India, Al-Biruni telah ditawan oleh Sultan Mahmood al-Ghaznawi. Setelah menyedari keilmuwannya beliau ditugaskan di istana sebagai salah seorang  ulama.  Kesempatan  itu  digunakan  sepenuhnya  oleh  Al-Biruni  untuk mempelajari bahasa Sanskrit dan bahasa lain di India.

Di sana beliau mengambil kesempatan untuk mengenali agama Hindu dan falsafah India. Hasilnya beliau telah menulis beberapa buah buku yang mempunyai hubungan dengan masyarakat India dan kebudayaan Hindu.

Tembok penjara tidak menjadi penghalang kepada Al-Biruni untuk terus menuntut dan menghasilkan karya-karya yang besar dalam pelbagai bidang. Sumbangannya kepada ilmu dan peradaban India amat besar. Sumbangannya yang paling penting ialah dalam penciptaan kaedah penggunaan angka-angka India dan kajiannya mencari ukuran bumi menggunakan kiraan matematik. Beliau juga telah berjaya menghasilkan satu daftar yang mengandungi peta dan kedudukan ibu-ibu negara di dunia.

Semasa berada dalam tawanan itu, Al-Biruni juga menggunakan seluruh ruang dan peluang yang ada untuk menjalinkan hubungan antara para ilmuwan sekolah tinggi Baghdad  dan  para  sarjana  Islam  India  yang  tinggal  dalam  istana  Mahmud  al Ghaznawi.

Selepas dibebaskan, beliau telah menulis sebuah buku yang berjudul Kitab Tahdid al Nih-ayat al Amakin Lita’shih al Masafat al Masakin. Di samping itu, beliau turut mendirikan  sebuah  pusat  kajian  astronomi  mengenai  sistem  solar  yang  telah membantu perkembangan pengajian ilmu falak pada tahun-tahun yang mendatang. Kajiannya dalam bidang sains, matematik, dan geometrik telah menyelesaikan banyak masalah yang tidak dapat diselesaikan sebelum ini.

Penguasaannya terhadap pelbagai ilmu pengetahuan dan bidang telah menyebabkan beliau digelar sebagai “Ustaz fil Ulum” atau guru segala ilmu. Penulisannya tentang sejarah  Islam  telah  diterjemahkan  ke  dalam  bahasa  Inggris  dengan  judul “Chronology of Ancient Nation”. Banyak lagi buku tulisan Al-Biruni diterbitkan di Eropah  dan  tersimpan  dengan  baiknya  di  Museum  Escorial,  Sepanyol.  Dalam sepanjang hidupnya

Al-Biruni telah menghasilkan lebih 150 buah buku termasuk satu senarai kajian yang mengandungi 138 tajuk.

Antara buku itu ialah Al-Jamahir fi al-Jawahir yakni mengenai batu-batu permata; Al-Athar al-Baqiah berkaitan kesan-kesan lama peninggalan sejarah dan Al-Saidalah fi al-Tibb,  tentang  obat-obatan.  Karya  ini  dikatakan  karyanya  yang  terakhir  sebelum meninggal dunia pada 1048M.

Al-Biruni bukan sahaja dapat menguasai bahasa Sanskrit dengan baik tetapi juga bahasa-bahasa Ibrani dan Syria. Beliau yang memiliki ilmu pengetahuan yang luas tentang falsafah Yunani menjadikannya seorang sarjana agung yang pernah dilahirkan oleh dunia Islam. Al-Biruni berjaya membuktikan bahawa gandingan falsafah dan ilmu pengetahuan telah membolehkan agama terus hidup subur dan berkembang serta membantu menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh umat.

Pemikiran  falsafahnya  tidak  semata-mata  bersandarkan  kepada  imaginasi  dan permainan  logik  tetapi  berdasarkan  kepada  kajian  yang  dilakukannya  secara empirikal. Kepakarannya dalam ilmu Islam tidak boleh dipertikaikan kerana dalam umur yang masih muda lagi beliau telah menghasilkan sebuah karya besar yang berjudul Kitabul Asar al baqiya ‘Anil Quran al Khaliya.

Sebelum  ke  India,  Al-Biruni  sering  menjalinkan  hubungan  dengan  Ibnu  Sina. Keadaan ini menjadi bukti penegasan ilmuwan Islam lain terhadap ketokohan dan kesarjanaannya. Sekaligus menjadikan beliau seorang ahli falsafah Islam yang serba
boleh dengan sumbangan yang telah memberikan manfaat yang besar kepada manusia seluruhnya.

Dalam masa yang sama, Al-Biruni juga membuktikan bahwa golongan ahli falsafah bukan merupakan golongan yang sesat dan hidup di menara gading. Sebaliknya mereka merupakan golongan ilmuwan yang perlu diberi posisi dan tempat yang khusus. Peranan dan
kedudukan mereka amat besar dalam pembinaan peradaban Islam serta peradaban manusia.

Sesungguhnya  kemunculan  Al-Biruni  sebagai  tokoh  ilmuwan  tersohor  telah mengangkat martabat ahli falsafah daripada terus diberikan pelbagai stigma dan label yang berbentuk negatif serta merubah peranan yang sepatutnya dimainkan oleh ahli falsafah itu sendiri.

About these ads

Berikan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s